PROSPEK kerjaya dalam bidang seni bina landskap menjanjikan masa depan yang cerah asalkan seseorang mempunyai minat dan kesungguhan untuk berjaya. Bagaimanapun, sebelum mengorak langkah lebih jauh lagi, pelajar yang menuntut dalam bidang berkenaan harus membuktikan bahawa kerjaya sebagai arkitek landskap bukan sekadar mengindahkan alam sekitar dengan tanaman bermacam jenis pokok bunga. Menurut pensyarah di Jabatan Seni Bina Landskap, Kuliyyah Seni Bina dan Reka Bentuk Persekitaran, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Nurhayati Abdul Malek, cabaran utama yang perlu mereka hadapi adalah bagaimana hendak mengubah persepsi masyarakat terhadap bidang seni bina landskap. “Bukan mudah untuk mengubah tanggapan masyarakat tetapi itulah halangan utama yang perlu mereka selesaikan. Dalam masyarakat kita, kita seolah-olah telah diletakkan satu standard bahawa sebarang kerjaya yang kurang popular adalah berbeza dan tidak diiktiraf walaupun ia memberi sumbangan yang cukup besar,” kata Nurhayati yang baru pulang dari Adelaide, Australia setelah menamatkan pengajian peringkat sarjana. Sebagai sebuah negara maju menjelang 2020, bidang landskap turut memainkan peranan penting di Malaysia. Ini dapat dilihat apabila setiap majlis perbandaran memerlukan sekurang-kurangnya seorang arkitek landskap. Malah, pelan pembangunan dan perumahan memerlukan kelulusan landskap bagi mendapatkan sijil sah menduduki (CF). Jelas beliau, tanggungjawab utama arkitek landskap adalah mereka bentuk persekitaran agar sesuai dengan kehendak masyarakat dan perancangan kawasan. Kerjaya ini jauh lebih menarik berbanding arkitek yang hanya memberi tumpuan kepada rekaan bangunan, pereka hiasan dalaman yang bertanggungjawab mencantikkan ruang dalaman rumah dan juruukur bahan yang terlibat dalam pengiraan kos kerja-kerja pembinaan. “Dalam hal ini, pelajar dan anggota masyarakat mesti mempunyai keyakinan terhadap prospek kerjaya dalam bidang ini. Persepsi bahawa arkitek landskap hanya menanam pokok bunga untuk mencantikkan kawasan perlu diubah. Kerjaya ini sebenarnya cukup menarik jika kita benar-benar ada kesungguhan dan keinginan untuk berjaya,” ujarnya yang pernah bekerja sebagai arkitek landskap selama setahun setengah sebelum memilih profesion sebagai pensyarah. Menceritakan pengalamannya, ujar ibu kepada dua cahaya mata ini, kerjaya pensyarah lebih mencabar berbanding arkitek landskap kerana ia melibatkan masa depan pelajar dan membantu memberikan tanggapan awal positif mengenai masa depan dalam bidang tersebut. Pensyarah juga bertanggungjawab melahirkan arkitek landskap yang berkebolehan dan berdaya saing. Bagaimanapun, ada sebahagian pelajar yang kabur dengan masa depan mereka dan hilang semangat belajar. Untuk menangani perkara ini, Norhayati seboleh-bolehnya akan menyelami masalah mereka dan berbincang dengan baik. Selain itu, beliau turut terlibat sebagai guru penasihat bagi setiap aktiviti melibatkan pelajar seni bina landskap. Beliau turut mengulas mengenai perkembangan sektor pembinaan di negara ini yang turut memberi kesan kepada pelajar bidang berkenaan. Kekurangan projek menyebabkan pihak jabatan dan fakulti menghadapi kesukaran menempatkan pelajar untuk menjalani latihan praktikal dengan alasan tidak mampu membayar elaun bulanan. “Dalam kes ini, sama ada pihak firma lebih cenderung untuk memberi peluang kepada mereka atau memikirkan masalah elaun yang perlu diberikan kepada pelajar. Walaupun projek berkurangan, tetapi profesion ini tidak akan hilang begitu saja kerana ia amat penting untuk pembangunan negara,” tegas Nurhayati. Selain minat dan kreativiti, untuk menjadi arkitek landskap yang berjaya, mereka perlu melakukan banyak rujukan penyelidikan dari luar negara supaya idea-idea baru dapat bercambah dengan baik dan bermanfaat bagi pembangunan negara. Malaysia yang kaya dengan sejarah dan tradisi tersendiri sepatutnya dijadikan aset untuk pembinaan landskap yang unik. PROFIL Nama: Nurhayati Abdul Malek Umur: 30 tahun Tarikh lahir: 18 November 1975 Asal: Kuala Lumpur Akademik: Ijazah Sarjana Muda Seni Bina Landskap, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam dan Sarjana Rekreasi dan Pengurusan Persekitaran, Universiti Adelaide, Australia Kerjaya: Pensyarah Jabatan Seni Bina Landskap, Kuliyyah Seni Bina dan Reka Bentuk Persekitaran UIAM |
Khamis, 23 Disember 2010
Arkitek landskap perlukan minat dan kreativiti
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan